Wednesday, November 25, 2009

DTN : Memang dah nak dijadikan cerita

Semalam 25 hb November 2009, bersamaan 9 zulhijjah 1430H. Tarikh yg betul-betul nak dijadikan cerita buat Panglima Iskandar dalam Daerah Tak Nampak. Tanggal Khamis memang kebiasaan buat semua ketua-ketua kampung dalam Daerah Tak Nampak bermesyuarat mingguan bertempat di Balairong Sri Perdana di Istana Kayangan.
Memang nak dijadikan cerita, Datuk Ask Man tak datang. Dah lah tak datang, dia boleh bagitau last minit pulak. Datuk Henry jangan nak kata, memang Panglima Iskandar dah agak siang-siang lagi. Telahannya kebelakangan ini semakin tajam.
Tarikh ini tarikh keramat. Atas peristiwa yang berlaku malam tadi dan atas sejarah yang berlaku masa lampau. Sejarah lampau itu ialah saat rasulullah mengerjakan haji wida'. Tarikh ini adalah saat semua umat islam berhimpun di padang arafah menjalankan ibadah wukuf yang maktub dalam rukun haji. Peristiwa manis malam tadi pula, buat Panglima Iskandar, adalah disebabkan Datuk Ask Man dan Datuk Henry tidak hadir. Ketidakhadiran mereka membuka ruang dan peluang Panglima Iskandar berhujjah tentang sistem mesyuarat yang sepatutnya.
Suasana mesyuarat dijalankan dengan tegas, keras dan sekali-sekala diadunkan dengan sedikit unsur-unsur humor yang bukan dibuat-buat. Panglima Iskandar cukup berpuas hati walaupun Datuk Ask Man seakan sengaja menyatakan ketidakhadirannya melalui sms pada jam 8.07 minit. Dia bukan tak tau meeting biasa bermula pukul 8.30 malam. Macam lah dia tak boleh bagitau awal-awal. Panglima Iskandar mula membuat andaian atas perihal pemberitahuan yang lambat itu. Seolah saja tak bagi masa yang cukup untuk Panglima Iskandar buat persiapan. Ataupun ini memang strategi untuk melihat apa yang bakal disampaikan oleh Panglima. Atau Datuk Ask Man memang agak malu nak bagitau yang dia tak dapat datang. Atau Datuk Henry dah dibagitau, tapi tak bagitau kat Panglima Iskandar, akhirnya disemak oleh Datuk Ask Man. Terpaksalah dia yang bagitau sendiri.
Memang nak dijadikan cerita lah malam tadi, Panglima Iskandar yang kebelakangan ni tak berapa nak menyemat masuk meeting, malam tadi dia bercadang nak pakai kemeja lengan panjang. Pulak tu, jam tangan pun dia tak pakai. Bagus sangatlah tu, Panglima Iskandar ni selalu bila bermesyuarat selalu peka dengan masa tak nak lewat dan tak nak terlebih. Tapi malam tadi berbeza, dia buangkankan halangan masa yang selalu mempengaruhi bawaannya. Kali ini dia tidak setkan bila nak habis. Yang penting, ini peluang terbentang luas untuk dia bersuara. Suaranya memang cukup lantang dilontarkan. Kalau nyamuk terbang dalam balairong tu, mesti penerbangannya jadi senget tak stabil.
Kelantangannya menjadi-jadi apabila menyentuh isu Program anjuran Kampung Bistari yang langsung tidak diambil peduli oleh Ketua Kampungnya sendiri dan Ketua-ketua kampung yang lain yang tidak memberi kerjasama sepatutnya kepada Ketua Kampung Bistari. Dalam kelantangan itu, dia membangkitkan rasa kebersamaan Ketua-ketua kampung Daerah Tak Nampak.
Kemuncak lantangnya desibel suara Panglima Iskandar tercetus apabila semakan tentang kod Perlembagaan Cahaya yang mudah, tidak terpahat di dada Ketua Kampung Megah. Memang megah, tapi sombong. Sombong sebab tidak tahu kod Daerah yang kuat diperjuangkan oleh Panglima Iskandar. Kealpaan Ketua Kampung Megah itu, dikejutkan dengan satu hentaman kuat pada meja di hadapan Panglima Iskandar. Dia benar-benar murka kali ini.
Itulah alkisah ringkas berkenaan mesyuarat mingguan Daerah Tak Nampak yang di kepalai khusus oleh Panglima Iskandar di malam khusus 9hb zulhijjah 1430H. Seakan satu susunan halus mulus dari Ilahi buat membuka ruang bagi mekanisme pembetulan di war-warkan lagi. Perang mesti terus. Perang mesti tenang. Tenang pasti Menang. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Tuesday, November 10, 2009

Tak faham-faham

tow kir dari kampung saudagar memang tak paham-paham. Hari ini dia minta nak buat baju pekerja kafe dan baju korporat untuk bos-bosnya. Dia tak fahamkah satu daerah tengah kemarau. Air kering. Nanti nak minum apa? Ini semua sebab kaedah perlaksanaan yang mementingkan diri sendiri. Hancus semua rasa kebersamaan. Tak peduli, janji aku selamat.
Itulah hasil didikan kampung saudagar selama setahun.

Sunday, November 8, 2009

DTN : Misteri Hari ahad di Kampung Bistari

Semalam Kampung Sekolah menerima panggilan misteri yang tidaklah macam misteri nusantara. Salah seorang cikgunya bernama Balqissy menjawab, katanya seorang DAtuk dari Kampung Dukun Nyanyuk. Ingin membuat tawaran mewujudkan sekolah di sana. Katanya kampung mereka ada peruntukan untuk tujuan itu. Ini mesti kes nak kawtim, atau bahasa awamnya rasuah. Aktiviti yang sangat merosakkan negara. PAnggilan ini menjadi misteri oleh sebab jarak kampung yang agak jauh dengan kampung sekolah. Namun, itu masih boleh diterima. Selain itu, perolehan nombor telefon Balqissy juga membawa kepada tanda tanya, lantas menjadikan status panggilan itu agak misteri. Status Datuknya juga agak misteri. Bukanlah mustahil ada datuk di Kampung Dukun Nyanyuk, tapi setelah disemak di laman web Kampung tersebut, nyata namanya tidak muncul. Mungkinkah ini Datuk Plastik yang pernah menipu ramai orang-orang kaya atas nama projek.

Cikgu BAlqissy sememangnya seorang yang ramah dan meriah. Memang satu sifat yang mudah disenangi apabila berbual. Tapi dalam hal ini, keramahan dan meriah dia itu boleh dianggap tidak kena tempat apabila agak mudah melayan kerenah panggilan dan Datuk misteri itu. Walaupun perihal yang dibincangkan adalah sekolah, tapi dimana-mana tempat sekali pasti ada musuh. Pokok yang ditanam boleh diganggu serangga, bisnes yang berjalan boleh dikacau mandrem. Semua ini tidak difikir timbangkan oleh cikgu Balqissy saat berurusan dengan DAtuk Plastik mungkin. KEmeriahan dan KEramahannya mengatasi kewarasan pertimbangannya.

Sekolah ini bukan milik peribadi. Cikgu Balqissy harus ingat bahawa dia ada bos yang perlu dirujuk sebelum menjanjikan apa-apa dalam sebarang urusan. DAtuk itu mungkin merupakan ancaman buat Kampung Sekolah yang ternyata mempunyai pendidikan yang semakin maju dan hebat. Silap langkah, bukan dia seorang sahaja yang akan terkena, mungkin melibatkan keseluruhan penduduk Kampung Bistari, bahkan mungkin memberi tempias juga ke kampung-kampung jirannya. Itu moral yang harus diingat. Jangan sampai mengulangi kesilapan yang sama.

Setelah mula mngesyaki datuk itu mungkin datuk plastik atau datuk dari puak sekinja atau datuk dari GEng Selipar Biru atau Datuk yang sudah nyanyuk, panggilan balas dibuat setelah adakan perbincangan ringkas. Matlamatnya mengelak dan menyemak. Tindakan atas nama perbincangan ini harus selalu dihidupkan, jangan dimatikan. Akhirnya setelah beberapa soalan dikemukan datuk plastik(mungkin) itu berkata " Kalau macam ni takpelah, just forget it"

Saturday, November 7, 2009

DTN : Memecah kekakuan rutin di Kampung Megah

Tanggal Sabtu, 8 november 2009 mencoret satu lagi pengalaman bersejarah dalam perjalanan Daerah Tak Nampak. Setelah mengeras dan mengkaku dalam rutin-rutin harian yang semakin longgar, semenjak diserang Geng Selipar Biru 2 bulan lepas, aktiviti kali ini menyaksikan suatu yang berbeza.
Pagi-pagi lagi semua berhimpun di pusat pentadbiran daerah kecuali Pak Zaidi yang masih kesakitan tangannya akibat terjatuh dari Ribut, kenderaan pacuan 4 rodanya. Encik Qordowi juga masih bergelumang dengan kesakitan di bahagian anusnya. Kasihan mereka, moga diberi kesembuhan yang segera. Seperti biasa, rombongan di asingkan antara Datuk tiga tertinggi dan yang lain-lain. Kadang-kadang diasingkan Datuk enam tertinggi dari yang lain-lain. Ini sangat merimaskan Panglima yang Iskandar merupakan seorang dari Datuk tiga yang tertinggi. Rimas ini boleh disamatarakan dengan perasaan yang timbul saat badan berlengas. Rimas melonjak-lonjakkan hati untuk segera mandi. Wajib mandi atau mandi wajib sebagai penghilang rasa rimas. Panglima Iskandar sangat rimas dalam budaya dan protokol meninggi diri atau status walau sekali-sekala ada keperluannya untuk itu.
Baginya yang diajak berombongan ini adalah sahabat-sahabat terdekat, yang tidak sesuai dibudayakan pengasingan antara yang tertinggi dan yang tidak tertinggi. "Ini semua perlu dimandikan" kenyataan tidak berbunyi mengetuk-ngetuk hati kecil Panglima Iskandar. Mandikan seluruh badan dari sifat bongkak dan tinggi diri. Ini sesuai dengan kod etika 26(215) dalam peraturan asal Daerah Tak Nampak, saat belum ada pencemaran. peraturan asal ini yang sedang diperjuangkan oleh Panglima Iskandar dan beberapa orang kuncu-kuncunya.
Oleh kerana masih tertakluk dengan aturan Datuk Ask Man yang diperkeraskan lagi dengan Datuk Henry, Panglima Iskandar masih akur. Diamnya bukan bermakna setuju, tetapi diam penuh strategi halus, ibarat menarik rambut dalam tepung atau seperti api dalam sekam. Ini adalah strategi menggunakan kod 18(19) yang merupakan kod paling tengah secara keseluruhan. Panglima Daerah Tak Nampak.
Bila asing perjalanannya, sampai ke destinasi transit buat menyarap pun asinglah tibanya. Lain-lain masanya. Ini semakin merimaskan rasa hati Penglima Iskandar. Baginya, acara makan bersama merupakan momen kekeluargaan yang sangat penting untuk diwujudkan. Rasa kebersamaan dalam agenda santapan. Rasa kasih sayang dalam kekeluargaan yang juga merupakan tuntutan dalam kod 42(23).
Seusai menyarap di Negeri Isa Kemas, rombongan diteruskan menuju lahan Kampung Megah. Mulanya asing, pertengahan juga sambung asing. Ini kurang mematuhi kaedah rombongan berjemaah yang disarankan dalam kitab-kitab lama. Ini juga sedikit-sebanyak mengguris hati Panglima Iskandar. Dia kurang pasti bagaimana rasanya sahabat-sahabat yang lain. Kadang-kadang dia merasakan dirinya terlebih sensitif. Atau supaya tidak ada salah faham, terlebih peka. Kepekaan ini sebenarnya turut berasaskan kod juga, iaitu kof 9(128).
Sesampai di Kampung Megah, jiwa Panglima Iskandar dan sahabat-sahabat yang lain berbunga. Tertawan dengan keindahan suasana kampung. Dan lebih mengesankan ialah tapak projek pertanian yang digembar-gemburkan sebelum ini kini berada di hadapan mata masing-masing peneraju daerah tak nampak. Ketua Kampung Megah encik Imam kelihatan bangga, sesekali tersenyum seorang diri. Puas setakat apa yan telah diusahakan. Sememangnya usaha-usaha sebelum ini menemui banyak cabaran, halangan dan kekangan. Namun dengan kesungguhan seluruh tenaga dan kekuatan Kampung Megah, disokong juga oleh kampung-kampung jiran, semuanya berjaya ditangani.
15 ekar tanah yang berjaya diuruskan sewanya secara mengejut oleh Ketua Kampung Megah, akan diserah kepada kampung Petani untuk diusahakan. Pada wajah Ketuanya, tidak dapat dibaca samada gembira dengan kerjasama itu, atau sebaliknya. Dia memang seorangg pemikir risiko yang banyak. Ini adalah kebiasaan yang ada bagi yang mula melanjutkan usia di bumi ini.
Tanah ini sebenarnya hampir-hampir sahaja disewakan kepada Ah Guan yang sangat dekat dengan majlis perasmian yang telah disusun dan diluluskan. Oleh sebab nama Ah Guan itu kurang sedap didengar oleh golongan-golongan berasis tinggi, sempat saudara Imam mencelah di selitan-selitan kecil dan nipis menggunakan kuasa pengaruh yang sememangnya tertanam dalam dirinya.
Sejurus ditanah 15ekar itu, rombonngan dituntun lagi seterusnya ke tapak sawah yang merupakan salah satu projek mega Kampung Megah. mengimarahkan kampung mereka dengan penanaman di lahan seluas sekitar 23 ekar yang sudah 30 tahun tidak diusahakan oleh sesiapa. Ini merupakan cabaran yang hebat, di samping tindakan yangb sangat tepat untuk menyampaikan unsur-unsur dakwah cara halus berlandaskan kod 18(19) seperti yang dicontohkan di atas.
Matahari semakin meninggi, masing-masing mula mengeluarkan keringat di dahi dan seluruh badan. Keringat yang tidak langsung merimaskan diri masing-masing dek kerana puas dengan hasil usaha Kampung Megah untuk memajukan status kampung, dalam rangka menuruti perancangan Daerah Tak Nampak dalam agenda merafakkan nama daerah sehingga beroleh daerah termaju di dunia. Status yang pernah diperoleh suatu masu dahulu oleh orang-orang yang terdahulu.
Dalam keterikan tengahari itu, sudah sampai masanya untuk berteduh. Lalu digiring lagi oleh pasukan dari Kampung Megah menuju ke Teratak rasmi Pentadbiran Kampung Megah. Kesyukuran terhadap perkembangan terkini usaha-usaha dalam menjayakan perancangan daerah tak nampak dizahirkan lagi dengan pengucapan wirid-wirid dan bacaan doa sebelum santapan tengahari dijamah. PAnglima ISkandar merasa puas dengan momen begitu. Suasana begitu yang dia citakan. Suasana kemesraan, kekeluargaan yang tercipta. Yang tidak boleh dicipta hanya dengan kata-kata.
Perjalanan separuh hari itu, memberi sebakul pengajaran indah buat semua yang turut sama. Ajakan lawatan merupakan suatu bentuk motivasi buat Kampung Megah, kerana saat semua tetamu hadir, masih belum ada sejemput padi pun yang ditanam. Gambaran itu menyimpulkan akan ada jemputan susulan samada saat menanam ataupun saat menuai kelak.
Walaupun tanggungjawabnya tampak dibahu Kampung Megah secara kesuruhannya, hakikatnya projek mega ini ada dalam senarai projek Daerah TaK Nampak. Ini membawa maksud, susah dan senang projek ini akan digalang bersama oleh seluruh penduduk Daerah Tak Nampak.
Pelajaran terbesar adalah kebersamaan. Kunjungan ini memanifestasikan kesatuan Ketua-ketua kampung seluruh Daerah Tak Nampak. Kehadiran mereka ke kampung megah walaupun sekejap, menguatkan hati dan semangat penduduk Kampung Megah untuk terus berusaha gigih menjayakan projek sawah yang mendapat sokongan penuh oleh keseluruhan Daerah Tak Nampak. Buat kampung-kampung lain pula khususnya buat para ketua, detik puas separuh hari itu menyisakan benih-benih kesegaran dalam hati masing-masing setelah agak lama diselimuti pertemuan-pertemuan yang tegang, keras dan kaku. Moga benih ini nanti, subur terus sampai bila-bila terutama dalam menelusuri tahun kedua perjalanan yang menjanjikan lebih banyak cabaran genting, terutama saat-saat awal tahun yang bahang dan baunya sudah mula terasa dan merebak ke atmosfera tak nampak. Tak tersentuhkan melainkan hati-hati yang halus. Peka.