Tanggal Sabtu, 8 november 2009 mencoret satu lagi pengalaman bersejarah dalam perjalanan Daerah Tak Nampak. Setelah mengeras dan mengkaku dalam rutin-rutin harian yang semakin longgar, semenjak diserang Geng Selipar Biru 2 bulan lepas, aktiviti kali ini menyaksikan suatu yang berbeza.
Pagi-pagi lagi semua berhimpun di pusat pentadbiran daerah kecuali Pak Zaidi yang masih kesakitan tangannya akibat terjatuh dari Ribut, kenderaan pacuan 4 rodanya. Encik Qordowi juga masih bergelumang dengan kesakitan di bahagian anusnya. Kasihan mereka, moga diberi kesembuhan yang segera. Seperti biasa, rombongan di asingkan antara Datuk tiga tertinggi dan yang lain-lain. Kadang-kadang diasingkan Datuk enam tertinggi dari yang lain-lain. Ini sangat merimaskan Panglima yang Iskandar merupakan seorang dari Datuk tiga yang tertinggi. Rimas ini boleh disamatarakan dengan perasaan yang timbul saat badan berlengas. Rimas melonjak-lonjakkan hati untuk segera mandi. Wajib mandi atau mandi wajib sebagai penghilang rasa rimas. Panglima Iskandar sangat rimas dalam budaya dan protokol meninggi diri atau status walau sekali-sekala ada keperluannya untuk itu.
Baginya yang diajak berombongan ini adalah sahabat-sahabat terdekat, yang tidak sesuai dibudayakan pengasingan antara yang tertinggi dan yang tidak tertinggi. "Ini semua perlu dimandikan" kenyataan tidak berbunyi mengetuk-ngetuk hati kecil Panglima Iskandar. Mandikan seluruh badan dari sifat bongkak dan tinggi diri. Ini sesuai dengan kod etika 26(215) dalam peraturan asal Daerah Tak Nampak, saat belum ada pencemaran. peraturan asal ini yang sedang diperjuangkan oleh Panglima Iskandar dan beberapa orang kuncu-kuncunya.
Oleh kerana masih tertakluk dengan aturan Datuk Ask Man yang diperkeraskan lagi dengan Datuk Henry, Panglima Iskandar masih akur. Diamnya bukan bermakna setuju, tetapi diam penuh strategi halus, ibarat menarik rambut dalam tepung atau seperti api dalam sekam. Ini adalah strategi menggunakan kod 18(19) yang merupakan kod paling tengah secara keseluruhan. Panglima Daerah Tak Nampak.
Bila asing perjalanannya, sampai ke destinasi transit buat menyarap pun asinglah tibanya. Lain-lain masanya. Ini semakin merimaskan rasa hati Penglima Iskandar. Baginya, acara makan bersama merupakan momen kekeluargaan yang sangat penting untuk diwujudkan. Rasa kebersamaan dalam agenda santapan. Rasa kasih sayang dalam kekeluargaan yang juga merupakan tuntutan dalam kod 42(23).
Seusai menyarap di Negeri Isa Kemas, rombongan diteruskan menuju lahan Kampung Megah. Mulanya asing, pertengahan juga sambung asing. Ini kurang mematuhi kaedah rombongan berjemaah yang disarankan dalam kitab-kitab lama. Ini juga sedikit-sebanyak mengguris hati Panglima Iskandar. Dia kurang pasti bagaimana rasanya sahabat-sahabat yang lain. Kadang-kadang dia merasakan dirinya terlebih sensitif. Atau supaya tidak ada salah faham, terlebih peka. Kepekaan ini sebenarnya turut berasaskan kod juga, iaitu kof 9(128).
Sesampai di Kampung Megah, jiwa Panglima Iskandar dan sahabat-sahabat yang lain berbunga. Tertawan dengan keindahan suasana kampung. Dan lebih mengesankan ialah tapak projek pertanian yang digembar-gemburkan sebelum ini kini berada di hadapan mata masing-masing peneraju daerah tak nampak. Ketua Kampung Megah encik Imam kelihatan bangga, sesekali tersenyum seorang diri. Puas setakat apa yan telah diusahakan. Sememangnya usaha-usaha sebelum ini menemui banyak cabaran, halangan dan kekangan. Namun dengan kesungguhan seluruh tenaga dan kekuatan Kampung Megah, disokong juga oleh kampung-kampung jiran, semuanya berjaya ditangani.
15 ekar tanah yang berjaya diuruskan sewanya secara mengejut oleh Ketua Kampung Megah, akan diserah kepada kampung Petani untuk diusahakan. Pada wajah Ketuanya, tidak dapat dibaca samada gembira dengan kerjasama itu, atau sebaliknya. Dia memang seorangg pemikir risiko yang banyak. Ini adalah kebiasaan yang ada bagi yang mula melanjutkan usia di bumi ini.
Tanah ini sebenarnya hampir-hampir sahaja disewakan kepada Ah Guan yang sangat dekat dengan majlis perasmian yang telah disusun dan diluluskan. Oleh sebab nama Ah Guan itu kurang sedap didengar oleh golongan-golongan berasis tinggi, sempat saudara Imam mencelah di selitan-selitan kecil dan nipis menggunakan kuasa pengaruh yang sememangnya tertanam dalam dirinya.
Sejurus ditanah 15ekar itu, rombonngan dituntun lagi seterusnya ke tapak sawah yang merupakan salah satu projek mega Kampung Megah. mengimarahkan kampung mereka dengan penanaman di lahan seluas sekitar 23 ekar yang sudah 30 tahun tidak diusahakan oleh sesiapa. Ini merupakan cabaran yang hebat, di samping tindakan yangb sangat tepat untuk menyampaikan unsur-unsur dakwah cara halus berlandaskan kod 18(19) seperti yang dicontohkan di atas.
Matahari semakin meninggi, masing-masing mula mengeluarkan keringat di dahi dan seluruh badan. Keringat yang tidak langsung merimaskan diri masing-masing dek kerana puas dengan hasil usaha Kampung Megah untuk memajukan status kampung, dalam rangka menuruti perancangan Daerah Tak Nampak dalam agenda merafakkan nama daerah sehingga beroleh daerah termaju di dunia. Status yang pernah diperoleh suatu masu dahulu oleh orang-orang yang terdahulu.
Dalam keterikan tengahari itu, sudah sampai masanya untuk berteduh. Lalu digiring lagi oleh pasukan dari Kampung Megah menuju ke Teratak rasmi Pentadbiran Kampung Megah. Kesyukuran terhadap perkembangan terkini usaha-usaha dalam menjayakan perancangan daerah tak nampak dizahirkan lagi dengan pengucapan wirid-wirid dan bacaan doa sebelum santapan tengahari dijamah. PAnglima ISkandar merasa puas dengan momen begitu. Suasana begitu yang dia citakan. Suasana kemesraan, kekeluargaan yang tercipta. Yang tidak boleh dicipta hanya dengan kata-kata.
Perjalanan separuh hari itu, memberi sebakul pengajaran indah buat semua yang turut sama. Ajakan lawatan merupakan suatu bentuk motivasi buat Kampung Megah, kerana saat semua tetamu hadir, masih belum ada sejemput padi pun yang ditanam. Gambaran itu menyimpulkan akan ada jemputan susulan samada saat menanam ataupun saat menuai kelak.
Walaupun tanggungjawabnya tampak dibahu Kampung Megah secara kesuruhannya, hakikatnya projek mega ini ada dalam senarai projek Daerah TaK Nampak. Ini membawa maksud, susah dan senang projek ini akan digalang bersama oleh seluruh penduduk Daerah Tak Nampak.
Pelajaran terbesar adalah kebersamaan. Kunjungan ini memanifestasikan kesatuan Ketua-ketua kampung seluruh Daerah Tak Nampak. Kehadiran mereka ke kampung megah walaupun sekejap, menguatkan hati dan semangat penduduk Kampung Megah untuk terus berusaha gigih menjayakan projek sawah yang mendapat sokongan penuh oleh keseluruhan Daerah Tak Nampak. Buat kampung-kampung lain pula khususnya buat para ketua, detik puas separuh hari itu menyisakan benih-benih kesegaran dalam hati masing-masing setelah agak lama diselimuti pertemuan-pertemuan yang tegang, keras dan kaku. Moga benih ini nanti, subur terus sampai bila-bila terutama dalam menelusuri tahun kedua perjalanan yang menjanjikan lebih banyak cabaran genting, terutama saat-saat awal tahun yang bahang dan baunya sudah mula terasa dan merebak ke atmosfera tak nampak. Tak tersentuhkan melainkan hati-hati yang halus. Peka.
0 comments:
Post a Comment