Pertemuan dengan tuan mursyid al-banjari petang tadi sungguh indah. Ditemani hujan renyai-renyai kami berkisah. Kisah tentang pembangunan Kampung Kuala Kubur yang hampir terkubur. Kali ini tidak berdua seperti selalu. Doa Tuan Mursyid agar dikurniakan penolong ketua kampung telah dikabulkan. Haji Awang namanya. Sebetulnya dia juga berasal dari Kampung Kubur satu saat dulu, sekitar 3 tahun lepas. Sebelum ditempatkan di Kampung Kubur, dia berposisi sebagai penolong juga di Kampung Bistari. Turut menyeri petang indah itu juga, Ketua Kampung Bistari, Encik Qordowi.
Selain memperihalkan tentang pertukaran posisi Hj Awang sempat juga menanam benih-benih kefahaman dalam hati mereka berdua tentang konsep pembangunan Kampung Kubur yang terbaru. Berasaskan tuntutan sentiasa bersifat dinamik yang terkandung dalam Perlembagaan Cahaya, tuan mursyid memperincikan segenap asbab tindakan-tindakan dan proses mengecat semula sistem pemerintahan Kampung Kubur. Hj Awang dan En Qordawi mengangguk-angguk sambil menghirup teh panas di Restoran Sebelah Stabak. Mudah-mudahan benih yang ditanam petang itu terus subur menjadi akar yang kukuh, kuat tersemat dalam hati mereka. Bertahap-tahap kesuburan itu sehingga nanti harapnya, akhirnya, mereka sama-sama memperjuangkan atau sekurang-kurangnya memberi sokongan terpadu dalam merafakkan semula Perlembagaan Cahaya yang kian suram itu.
Cerah kulit muka tuan mursyid dek kerana puas menyiram hati-hati mereka dengan kefahaman tentang Perlembagaan Cahaya. Kefahaman yang lebih menjurus kepada praktik. Jauh berbeza dengan budaya masyarakat Kg Kubur generasi impak maksiam terkini yg hanya berseminar, bersimposium, berdebat, tak termasuk mengadakan rancangan-rancanagan realiti sahaja terhadap Perlembagaan Cahaya. Bagusnya mereka masih menyanjung tinggi Perlembagaan itu. Tak bagusnya, mereka hanya pandai bergebang kosong, macam tin-tin buangan. Kotor, dan berbau busuk.
Peluang masih ada. Yakini kami berdua. Ini adalah satu bentuk langkah dalam pelbagai lagi. Langkah yang boleh juga diistilahkan sebagai siasah. Penuh strategi. Langkah halus dan rapi dalam memastikan perlembagaan cahaya dijulang lagi. Setinggi-tingginya sehingga paling tinggi yang tiada yang lain yang paling tinggi melain Perlembagaan Cahaya itu sendiri. Itu harap yang kuat. Disertakan dengan strategi, kami berdua semakin yakin. Usaha pasti dibantu Ilahi. Kami yakini itu. Kuat sekali.
Dalam sejarah lampau, melibatkan manusia berstatus lebih jauh dari moyang atau onyang, saat Perlembagaan Cahaya sedang merundum, tika itu diutuskan utusan buat mengingatkan. Memberi peringatan kepada segenap masyarakat termasuk pemimpin yang terhidu aroma sihir kealpaan. Alpa dari mengaplikasi tuntutan tuhan, menjalankan Perlembagaan Cahaya, bukan hanya bicara. Aplikasi. Tindakan. Utusan ini diuji dengan macam-macam, tapi mereka sabar. Sehingga kesabaran mereka itu akhirnya di bayar dengan kemenangan. Harga kemenangan itu sememangnya tidak murah. Harus kuat dan tabah. Tidak kenal erti putus asa.
Lalu, kami terus berjalan, menuju dekatnya Perlembagaan Cahaya.
Semoga Allah redha.
0 comments:
Post a Comment