Kepala tengah sakit. Saya rasa mental pun tengah uzur. Seminggu terlantar masa raya belum kebah sepenuhnya lagi. Seperti ada sisa-sisa kuman lemah rasanya bertempek kat jiwa. Jiwa seakan lemak ah lembik. Huh, saat macam ini, perlu ditangani segera. Otak sembab membengkak. Angin kus-kus berdansa-dansa mengelilingi usus kecil dan besar, dan di tanah tinggi tubuh, otak. Menyebabkan kepala sedikit berdenyut-denyut. Angin yang terkandung pula, bukan main payah nak disuruh keluar ke atmosfera bumi. "Kat situ tempat engkau, bukan kat dalam badan aku" geram akibat kepayahan meneran-neran dada memaksa sang angin kembali ke kampung asalnya.
Jiwa lara ini, pada saya sangat mudah diubati. Tatkala mula mencoret ini, sudah terasa ubat-ubat semulajadi menguat perkasakan hati dan minda agar tidak menyerah bungkam dengan ehwal enteng ini. Teringat kata-kata seorang panglima pencen " Alah, semua yang sakit-sakit fizikal sebab mental, semua tu mental je" Fuh, kuat betul prinsip diri dia hemat aku. Tak dapat dibayangkan apa yang akan keluar dari mulut dia sekiranya kakinya terpatah. Mungkinkah prinsip sakitnya itu bertapak teguh sehingga keadaan macam itu pun boleh di lawan dengan mental yang kuat. Walaupun nampak macam ada yang tak kena, atau tidak semua kesakitan yang boleh ditahan dengan prinsip unggul panglima pencen itu, namun bagi saya, ada kebenarannya juga terhadap kata-kata tak ingat dari si dia itu. Ringkasnya, boleh pakai juga lah.
Maka saat ini, saya sedang mengangkat senjata melawan kuman lemah dan lembik untuk dihalau. Senjata yang kebanyakan manusia tak cari saat ditimpa uzur. Perang psikololgi dengan kuman kecil. Halus mesti lawan dengan cara lebih halus lagi. Saat ini tika sedang mencatat ini, sebenarnya peperangan sedang berlangsung. Perang ghaib. Ada, tapi tidak nampak. Senjatanya, fiil yang menghiburkan hati dilaksanakan. Menulis. Menulis adalah senjata melawan resah gelisah buat diri saya. Sebab saya suka menulis. Entah berapa banyak kuman jahat sudah tumbang saat sedang menulis. Saya yakin selepas selesai mewarkah kata-kata bermakna ini, hati dan mental akan kembali berbunga-bunga seperti sediakala. Senyum kacak juga bakal tampil percuma buat orang-orang yang kenal mahupun tidak. Biar diorang nak kata apa, senyum juga senjata. Senjata ini juga biasanya menjadi kealpaan buat diri yang sedang diuliti sengsara.
Maka, inilah satu prinsip diri tatkala sedang usang dan kusam. Prinsip ini harus sentiasa diingat lekat semat dalam dada. Mencari penawar yang orang jarang cari padahal percuuma. Ingat, saat sedang sakit, cari kaedah menggembirakan hati. Apa sahaja yang boleh membungakan hati. Tengok kisah jenaka. Ketawa adalh ubat terbaik. Secara saintifik apabila ketawa seorang manusia, tubuh mahalnya akan mengeluarkan ubat semulajadi yang tidak perlu dibayar yang beernama endorphin, struktur dantindakan seakan morphine yang digilai penagih dan mahal harganya. Bezanya, yang ini semulajadi, tiada kesan samping, tiada kesan penagihan, percuma, dan tidak memudaratkan langsung.
Maka, saat ini, kerana diri ini mengingatkan dirinya sendiri akan penawar sakti, mekanisme penyembuhan badan dapat dirasakan sekarang. Angin kus-kus bagaikan hilang menyepi. Sakit kepala tiada lagi. Hati tenang jiwa lapang. Bunga-bunga keamanan dan kesenangan serta kenyamanan minda berterbangan di sana-sini ditiup angin penawar ruhani. Jiwa dalaman harus bangkit, bangun, kuatkan diri, lawan kuman sembab lembik dan lemah. Ayuh! Bekerja! Kerja! Buat sesuatu!
Friday, October 2, 2009
Bila kepala tengah sakit
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment