Thursday, October 22, 2009

daerah tak nampak

Dua hari lepas, tanggal 21 oktober, para penghulu kampung bersidang. Persidangan ini merupakan aktiviti tetap mingguan bagi penghulu-penghulu kampung dalam Daerah Tak Nampak. Namun pada kali ini, mesyuarat yang berlangsung agak berbeza kerana Penghulu Kampung Kubur ada membentangkan projek mega yang boleh mendatangkan hasil pulangan yang lumayan kepada kampung seterusnya buat Daerah Tak Nampak. Projek Unggul itu menggariskan antaranya projek meramaikan penduduk kampung, projek menambah bilangan dan keluasan kawasan kubur dan projek menaiktaraf sistem persekolahan penduduk.

Penghulu Kampung Kubur memperincikan satu-persatu projek-projeknya dengan halus dan mendalam. Setiap satunya diperjelaskan asbab dan matlamatnya. Hakikatnya apa yang cuba dikongsikan adalah suatu transformasi yang ingin dilaksanakan. Transformasi ini pada pandangan dalamnya, bukanlah suatu yang baru walaupun memang ada yang baru. Secara konsepnya cadangan yang diketengahkan adalah suatu yang berasaskan kisah-kisah perjuangan perintis-perintis kampung terdahulu. Saat itu Kampung Kubur sangat gemilang. Namun apabila masa berlalu, Perlembagaan Cahaya yang telah ditetapkan oleh para perintis Kampung semakin dialpakan.

Kemajuan kampung kubur memang sangat hebat satu masa dahulu, lebih-lebih lagi saat pemerintahan Panglima Asni Yem. Namanya agak pelik bukan. Walaupun namanya pelik, sohihnya, dialah tokoh unggul sehingga berjaya menaikkan prestasi kampung dengan mencanak-canak sekali. Namun begitu, mungkin sebab namanya yang pelik itu, dia juga telah dinobatkan juga tokoh terhamlau sekali, kerana berjaya memupuk dan membaja sel-sel kanser dalam tubuh kampung kubur. Sedikit-sedikit, perlahan-lahan, organ-organ dalaman kampung kubur rosak, hilang dan mati fungsi. Kemerosoton prestasi kampung kubur akhirnya, menjunam ke gaung kegelapan. Kampung kubur semakin hilang serinya, semakin gelap-gelita walaupun matahari sebenar menyimbah cahayanya.

Apa punca malapetaka ini? Kenapa boleh sampai begini teruk nasib kampung kubur yang pernah gemilang, terbilang, dan seenak makan ikan sembilang dulu? sekarang sudah bersilang-silang, mengapa? Mudah sahaja jawabannya, Kemajuan yang dibawa oleh Asni Yem itu tidak berdasarkan Perlembagaan Cahaya yang dilaksanakan secara total oleh perintis-perintis kampung kubur terdahulu. Perlaksanaan yang dibawa oleh Panglima Asni Yem banyak dipengaruhi oleh Ajaran songsang Kapit Alis. Dakyah yang dibawa oleh Panglima Asni Yem sangat kuat tertusuk ke dalam jiwa-jiwa penduduk kampung kubur generasi baru, generasi sezaman dengan generasi impak maksima. Terapan-terapan pendidikan yang lama-kelamaan menjauhkan generasi moden kampung kubur dari Perlembagaan Cahaya. Terapan ini sama banyaknya dengan turapan jalan-jalanraya yang giat dibangunkan di lebuhraya kampung kubur.

Apabila telah jauh dari ajaran yang asli dan sebenar, perjalanan kampung banyak menyenget. Generasi baru lebih suka mencipta kilang-kilang dan mesin-mesin atas nama kemajuan. Selain mencipta kilang dan mesin, mereka juga berjaya mencipta asap-asap yang banyak dan sisa-sisa toksik untuk diberi makan ikan-ikan dilombong-lombong dan di sungai-sungai. Ikan-ikan ini pula nanti akan di bawa ke Pasar Borong kampung kubur untuk dijual kepada masyarakat setempat. Selain ikan, air-air sungai di kampung kubur yang telah diberi suplemen bahan kimia toksik itu juga ada digunakan buat membasuh baju, minum-minum serta untuk memasak. Nyata dakyah Panglima Asni Yem itu kuat menyenget dan membebalkan penduduk kampung kubur. Kebebalan ini bukanlahbebal mengeja, membaca atau mengira, tapi bebal tidak tahu dan kenal, tidak dapat membezakan antara cahaya dan gelap.

Begitulah sejarah kampung kubur yang pernah mendapat hadiah nobel sebagai kampung tpaling maju dan damai di seluruh dunia. Atas sejarah yang hebat itulah, penghulu barunya yang bernama Tuan Mursyid al banjari ingin meniupkan angin transformasi ke ruang atmosfera kampung kubur. Niatnya tidak lain untuk mengembalikan zaman kegemilangan bercahaya kampung kubur. Pembentangan kertas kerja projek-projek pembangunan disediakan dengan terperinci, sambil merujuk beberapa perkara, syeksen, baik yang ada kurungan mahupun tiada di dalam Perlembagaan Cahaya.

Persediaan dan pembentangan yang rapi ini dilakukan oleh Tuan Mursyid dengan harapan agar mendapat restu dan izin dari ketua Daerah Tak Nampak terkini, Datuk Ask Man. Sememangnya fiilnya sinonim dengan namanya, suka bertanya. Baik pertanyaan dengan hormat mahupun pertanyaan secara laknat atau lahanat. Selain Datuk ask man, Datuk Henry juga memainkan peranan sama penting dalam membuat sebarang keputusan dalam daerah tak nampak. Hakikatnya, beliau adalah timbalan Ketua Daerah tak Nampak. Dia bukanlah orang inggeris sebenarnya, namun atas pengaruh Ajaran Kapit Alis, namanya diinggeriskan oleh kedua ibu bapanya. Dia juga senang akan namanya sendiri, ala-ala orang kaya moden katanya. Yang nyata, dalam tubuhnya mengalir ajaran Kapit Alis ke serata organ, sebati dalam semua sel-sel badan lebih-lebih lagi di bahagian otak. Pandangan, pemikiran dan keputusan yang dibuat banyak diselaputi bau-bau, rasa dan warna kapit Alis. Enak bagi sebahagian penduduk, pahit dan memualkan bagi pejuang Perlembagaan Cahaya seperti Tuan Mursyid al banjari. Secara statistiknya, sepanjang beberapa tahun daerah tak nampak berada dalam taklukan mereka berdua, 85% daripada keputusan yang dibuat adalah dibawah pengaruh Timbalan Ketua Daerah Tak Nampak.

*lain kali sambung..

0 comments: